Allah swt telah
memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan
Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun
yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan
juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun
berjumpa Iblis dan berkata,
"Hai Iblis! Bahawa
Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat
Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang
disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau
engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala
suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat
keras"
Demi mendengar sahaja kata
Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap
Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya
dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi
salam,sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis
(alaihi laknat),
"Ya Rasulullah! Mengapa
tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi
Allah?" Maka jawab Nabi dengah marah
"Hai Aduwullah seteru
Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku
sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati
teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup
dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara
beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman
meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu
juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan
engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza
wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan
Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan
jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"
Sembah Iblis,
"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah.
Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan
hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap
umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa
yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya,
tiadalah hamba berani sembunyikan."
Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan
berkata
"Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang
sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu"
Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun
tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat
segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian
sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai
kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi pertama
"Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau
dan bagaimana aku terhadap engkau?"
Jawab Iblis
"Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling
besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun
memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung
Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti
sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah
sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah
oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba
menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan
berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama
Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau
munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan
yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama
hamba"
Soalan Nabi ke 2
"Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk
Allah"
Jawab Iblis
"Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang
merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya
hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya
meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba
lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya,
tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram. Demikian juga
ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar
- besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu
maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan
terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki
hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah
mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka
teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan
galang mereka supaya mereka menangguhkannya. bertambah keras hamba goda supaya
menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya,
datanglah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada
lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat Demikianlah hamba
goda mereka setiap saat."
Soalan Nabi ke 3
"Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan
berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan
laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk
Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa
yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang
memberi kekuatan anggota badan engkau?"
Jawab Iblis
"Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan
Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi
sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun
menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari
satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini
beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman
Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun
membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian
Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu
Allah murka kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu
bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah
menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa)
yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada
mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam
memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka
berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah),
hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya
Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan
berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke
dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk
mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta
balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan
memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn
berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan
karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak
dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak
Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga
hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak
panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena
lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah
kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."
Soalan Nabi ke 4
"Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu
akan manusia?"
Jawab Iblis
"Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya
imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau
hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan
pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"
Soalan Nabi ke 5
"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana
Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis
"Sebesar-besar kesusahan kepada hamba.
Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan
berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota
badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia
yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya,
matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang
brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan
orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau
duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang itu,
semua membawa kepada kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda
manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat
hukuman"
Soalan Nabi ke 6
"Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah,
apalah rasa engkau?"
Jawab Iblis
"Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah,
maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba
lari daripadanya."
Soalan Nabi ke 7
"Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah,
bagaimana rasa engkau?"
Jawab Iblis
"Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan
tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"
Soalan Nabi ke 8
"Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana
hal engkau?"
Jawab Iblis
"Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling
besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka
memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan
kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang
lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan
dosanya selama dia berpuasa. Yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi
langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya
siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang
berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua
pintu neraka
ditutup manakala semua pintu syurga dibuka
seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin
Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa,
dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap
hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan
dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam.
Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat
tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat
tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka
bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding
bulan biasa."
Soalan Nabi ke 9
"Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada
engkau?"
Jawab Iblis
"Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah
sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu
daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang
"Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut
mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula
setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan
hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika
ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan
lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua
tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak
menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba
pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam
dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang
sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan
telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh
menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman
Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak
membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan
menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang
melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya
hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim
pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala
seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba
sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat
bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka
terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau
adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya
kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah
akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah
negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi
menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10
"Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis
"Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti hujan dari langit yang
menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama' yang memberi nasihat kepada manusia
supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata
Jibrail a.s "Ulama' itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat"
Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang
sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan
kebajikan.
Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau
tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun
sukacita lalu masuk kedalam badannya,hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka
dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa
bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat,
tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya
minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan
beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya.
Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang
akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar
sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya
untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"
Soalan Nabi ke 11
"Siapa yang serupa dengan engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan
membenci orang belajar agama Islam"
Soalan Nabi ke 12
" Siapa yang mencahayakan muka engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi
palsu, pemungkir janji"
Soalan Nabi ke 13
"Apakah rahsia engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis
Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak
membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke
badannya tanpa dia sedari"
Soalan Nabi ke 14
"Jika umatku bersatu dengan isterinya,
bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis
"Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan
isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka.
Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah
benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar
kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana
kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah,
hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa
kenyang."
Soalan Nabi ke 15
"Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya
engkau?"
Jawab Iblis
"Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali
bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah
segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."
Soalan Nabi ke 16
"Siapakah orang yang paling engkau lebih
suka?"
Jawab Iblis
"Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau
mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di
situlah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat
pada bulu itu"
Soalan Nabi ke 17
"Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya
celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena
hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak,
hamba beratkan hatinya untuk solat"
Soalan Nabi ke 18
"Apakah jalan yang membinasakan diri
engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yg banyak menyebut nama Allah,
bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus
Al-Quran dan solat tengah malam"
Soalan Nabi ke 19
"Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata
engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yang duduk di dalam masjid serta
beriktikaf di dalamnya"
Soalan Nabi ke 20
"Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis
"Orang yang taat kpd kedua ibubapanya,
mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana
tuan telah bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "
No comments:
Post a Comment