Nota:
Petua Membelai Cinta yang disampaikan oleh Us. Ismail Kamus ini begitu popular
dan banyak dijadikan rujukan dan motivasi kehidupan rumahtangga. Jangan tanya aki mana sumber pertama rujukan ni, aki sendiri dah lupe celah mana aki copy.. ape yang penting ini petua Us. Ismail Kamus punye... heheh
INDAHNYA cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya cinta
andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai
bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan
turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan
sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang
bertakhta di sanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri
atau sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri?
Datuk Ustaz Ismail Kamus
membincangkan: "Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila
berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat
kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan
susah melayan isteri. Seorang suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu
jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau senda, ia sudah cukup
dan memadai. Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah
menyediakan makan dan minum di samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup
pula ke hulu ke hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba
kekurangan, insya Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai
bila-bila. Bagaimanapun hal ini merujuk kepada wanita yang melimpah ruah dengan
kasih dan sayang. Mengutamakan rumah tangga dan berusaha menceriakannya
walaupun si suami bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak.
Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang,
tak ada duit abang melayang lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu
adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak
bahagia dan aman. Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada
kedua-duanya di depan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila
semuanya melayang, wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati,
ujarnya.
Beliau menambah, "Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang
membeli kasih dan sayang, ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun
wang itu sekadar dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan
menyenangkan pasangan membina rumah tangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk
keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat
merungkai masalah yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta
dan mengeratkan kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap menafsir. Sepatutnya utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau
isteri, justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba
kekurangan, tidaklah cepat melatah. Cuba perhatikan mereka yang tinggal di
kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak mempunyai
wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan kasih dan
sayang," jelasnya.
Beliau tidak menafikan, wanita sekarang lebih ramai yang
celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua, sedangkan
lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai. Golongan
begini, malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan.
Wanita ketara sudah celik mata.
Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau
syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya
intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan
berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul.
Sebaliknya si lelaki yang turut mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima
pun dengan perasaan sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.
WANITA - TULANG RUSUK YANG BENGKOK
Walaupun
hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh sisuami namun
era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan
kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung
kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala
membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya
daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok. Nabi bersabda, wanita itu
dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan
sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal selama-lamanya. Lantaran itu
andai si suami ingin memberi nasihat,hendaklah secara psikologi dan lemah
lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus. Sebaliknya jika menggunakan
kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah atau pecah. Misalnya
jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si suami anggap sahaja ia
cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu tidak suka, itu
adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari ini, nampaknya
dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang bengkok,
selarnya.
CINTA
DAHULU SEBELUM KAHWIN?
Memang
ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu sebelum
berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas
kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula
sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin baru pecah
tembelang pasangan masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus, ia
bergantung kepada jodoh masing-masing, dedahnya. Beliau menambah,
"Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi
keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai
berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya
itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan
bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku
pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si
isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?" soalnya.
Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal
perkenalan. "Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat
pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang
dianjurkan oleh Islam, insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun
jangan tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita
hendaklah memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa
atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus
kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada
kerenah, gelagat atau tingkah laku
pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang
menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya,
kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.
No comments:
Post a Comment